Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kanak-kanak tersebut rentung hampir seluruh badan selepas terperangkap dalam pondok berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nor Hafizah Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.10 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 minit kemudian. 

“Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah pondok pengawal di tapak pelupusan sampah sedang terbakar dan terdapat seorang mangsa kanak-kanak di dalamnya.

“Usaha memadamkan kebakaran tersebut terus dilakukan sebelum api dapat dikawal sepenuhnya jam 3.33 pagi.

“Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui rentung dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala lelaki berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala pula dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, punca kejadian itu masih disiasat dan operasi tamat sepenuhnya jam 4.43 pagi. - UTUSAN ONLINE