Mangsa, Mohd. Nor Irfan Norajamin, 7, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran lokasi dia dikatakan terjatuh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, mangsa sedang bermain bersama rakan-rakannya di lokasi terbabit sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran termasuk Pasukan Penyelamat Di Air, BBP Kota Kinabalu bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.25 petang semalam.

“Sebaik sahaja tiba di sana, pasukan bomba segera menjalankan operasi SAR di sepanjang sungai dan permukaan air.

“Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada pukul 7.09 malam tadi memandangkan hari semakin gelap dan diteruskan semula pada pukul 6.35 pagi ini” katanya hari ini.

Tambah jurucakap itu, mayat kanak-kanak lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE