Kanak-kanak itu, Mohd. Azim Iqram Mohd. Amin ditemukan berjalan kaki seorang diri di tepi jalan sekitar kawasan Tok Bali di Pasir Puteh oleh orang awam sebelum diserahkan ke Balai Polis Cherang Ruku, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Asisten Superintenden Azmi Mokhtar berkata, kes lemas yang didakwa melibatkan kanak-kanak itu dilaporkan emak sepupunya, Zarina Mohamad, 44, menerusi talian kecemasan berpusat (MERS) selepas Azim Iqram gagal ditemukan pada pukul 7 malam.

Menurutnya, keluarga murid Tahun Satu  Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang, Selangor itu pulang bercuti  beraya di kampung halaman  mengambil kesempatan berkelah di pantai berkenaan.

"Pasukan penyelamat ditubuhkan dan melancarkan gerakan mencari sehingga dimaklumkan kanak-kanak terbabit ditemukan seorang lelaki dan menyerahkannya di Balai Polis Cherang Ruku malam tadi.

"Kanak-kanak tersebut disahkan tidak mandi pantai tetapi dipercayai sesat serta gagal menemukan keluarganya. Dia masih berpakaian lengkap," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azmi berkata, Azim Iqram diserahkan kepada Ketua Balai Polis Cherang Ruku, Sarjan Mejar Mat Sood Mat Piah yang kemudiannya mengambil tindakan melaporkan penemuan itu termasuk tular gambar kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan maklum balas segera keluarga mangsa.

Menurutnya, ibu kanak-kanak terbabit, Zailani Woh, 42, tampil membuat pengecaman di balai polis berkenaan sebelum menuntut anaknya pada pukul 12 malam tadi. - UTUSAN ONLINE