Mangsa, Tan Wei Xiang, 12, merupakan pelajar Tahun Enam ditemukan di dalam tasik berkedalaman kira-kira tiga meter tersebut selepas dipercayai tergelincir di kawasan tepi tasik ketika bermain bersama dua rakannya.

Ketua Balai Bomba Taman Sri Andalas, A. Romzi Abu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 4.57 petang mengatakan seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas di tasik berkenaan.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian pada pukul 5.09 petang, orang ramai telah pun berkumpul di kawasan tersebut.

"Beberapa anggota bomba termasuk anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Shah Alam dan Pelabuhan Klang giat mencari mangsa yang dikhuatiri lemas. Mangsa ditemukan kira-kira pukul 7.12 malam yang jaraknya kira-kira empat meter daripada tebing tasik.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa tergelincir berikutan keadaan tasik yang agak licin dan proses pencarian sedikit sukar berikutan arus yang deras di laluan masuk tasik tersebut," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk proses bedah siasat. - UTUSAN ONLINE