Dalam kejadian pukul 10.05 pagi itu, Mohamad Daniel Hakim Mohd. Ismail ditemukan pihak bomba dan penyelamat di salah satu daripada tujuh bilik di dalam rumah ber­kenaan.

Tragedi menyayat hati itu hanya disedari anggota bomba selepas seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak itu meluru ke arah mereka dan memberitahu bahawa anaknya berada dalam rumah berkenaan selepas operasi memadam api.

Menurut bapa mangsa, Mohd. Ismail Abdul Hamid, 45, ketika kejadian dia berada di Felda Pasoh Tiga dengan jarak sekitar 20 kilo­meter dari rumah tersebut.

“Isteri saya keluar bekerja kira-kira pukul 9.30 pagi manakala nenek Mohamad Daniel Hakim pergi ke pekan Kuala Pilah dengan anak-anak yang lain setengah jam sebelumnya.

“Sepatutnya esok arwah ada temu janji untuk membuka besi di tangannya yang patah di hospital tetapi semuanya sudah berakhir,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini.

Menurut Mohd. Ismail, Mohamad Daniel Hakim patah tangan kanannya baru-baru ini akibat terjatuh dan dia diberikan cuti serta dijaga neneknya.

“Pagi ini, dia tinggal bersendirian di rumah kerana masih tidak sihat. Mungkin dia terlelap di atas katil dan tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Jelasnya, dia seperti dapat merasakan kelainan anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu apabila Mohamad Daniel Hikam tidak menunjukkan tanda sakit walaupun keadaan kecederaannya agak teruk sewaktu menerima rawatan di hospital.

Katanya, jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tangkoh, Johol lewat petang hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Pegawai Kanan 1, Lias Amat berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 10.13 pagi.

“Sepasukan enam anggota bomba yang tiba di tempat kejadian 15 minit selepas menerima panggilan mendapati rumah terbabit terbakar 100 peratus dan api berjaya dikawal lima minit kemudian.

Katanya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.