Keadaan itu menyukarkan mereka kerana terpaksa bercuti kerja serta mendiami pusat pemindahan di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu dalam keadaan sesak dan tidak selesa.

Sehingga petang ini masih terdapat 115 mangsa di pusat itu daripada 25 keluarga selain 6 keluarga dengan 39 mangsa berteduh di Surau An Nur kampung itu.

Menurut Pengerusi JKKK Muhamad Syafiq Md. Isa, keadaan kampung itu yang dikelilingi sungai menyebabkan mereka seolah-olah terkepung apabila Sungai Perai dan Sungai Tok Sani melimpah.

"Sejak banjir bermula petang Sabtu lalu kami mendiami dewan ini dalam keadaan bersesak-sesak kerana ini sahaja kawasan yang agak tinggi selain surau juga sempit.

"Sehingga kini tinggal lagi 25 keluarga yang masih berada di sini kerana air di rumah mereka masih belum surut sepenuhnya," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Tambah Muhamad Syafiq, beliau bersyukur kerana biarpun agak tersorok namun mangsa banjir di situ tidak terpinggir untuk menerima bantuan dari luar.

Jelasnya, banyak pihak yang tampil menghulurkan sumbangan yang dapat meringankan beban mereka yang kehilangan banyak barangan seperti perkakas dapur, perabot dan peralatan elektrik. - UTUSAN ONLINE