Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang dibuka di Masjid At Taufiqiyyah, kampung berkenaan.

Katanya, pecahan mangsa ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan ialah enam lelaki dewasa, perempuan dewasa (4), kanak-kanak lelaki (2), kanak-kanak perempuan (2) dan warga emas lelaki (5) serta warga emas perempuan (6).

"Pusat pemindahan itu mula beroperasi pada pukul 1.00 pagi bagi menempatkan mangsa banjir selepas kediaman penduduk terbabit ditenggelami banjir sedalam 1.8 meter.

"Kejadian banjir ini berlaku berikutan limpahan air dari sungai berdekatan akibat hujan lebat yang turun berterusan selama beberapa jam sebelum itu," katanya.

Katanya, operasi pemindahan penduduk dilakukan pasukan keselamatan seperti Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir setelah paras air dilaporkan naik mulai pukul 12.30 pagi.

"Agensi di bawah jawatankuasa ini akan terus melakukan pemantauan di lokasi terjejas banjir selain memastikan kebajikan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan inj," tambahnya. - UTUSAN ONLINE