Kejadian pada pukul 10.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Ahmad Nizam Nordin, 46, patah tulang bahu serta rusuk kiri sementara anaknya, Ahmad Ibrahim Ahmad Nizam, yang berusia lapan tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan kepala.

Pemandu sebuah lagi kenderaan yang memandu seorang diri bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kece­deraan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden M. Kumar berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira itu dalam perjalanan ke Johor Bahru bersama isteri dan tiga orang anaknya.

"Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat kereta yang dipandu kenderaan di hadapan gagal dikawal ketika melalui selekoh sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung kereta mangsa.

"Akibat pertembungan yang kuat di bahagian pemandu kereta Proton Wira tersebut, mangsa cedera parah dan anak lelakinya yang duduk di bahagian belakangnya terbunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut M. Kumar, kejadian berlaku ketika permukaan jalan lembab dan licin selepas hujan selain tidak rata dan berselekoh.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Mersing untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi urusan pengebumian," katanya.