Mangsa, Ismail Mohammed Rosli, 31, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi apabila mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Altis dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Shah Alam.

Katanya,setibanya di lokasi kejadian, kereta yang dipercayai dipandu laju hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tembok pembahagi jalan di lebuh raya terbabit.

“Akibat kemalangan tersebut, kereta dipandu terbalik dan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala termasuk patah tengkuk serta kecederaan parah pada bahagian dalaman badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, pihaknya sedang memeriksa kereta mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan untuk mengetahui punca kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE