Menurutnya, dia hanya sempat menjerit apabila sebuah lori menghampiri Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang ketika itu sudah terjatuh di atas jalan raya.

“Saya jatuh di tepi jalan manakala adik tercampak ke tengah jalan. Saya pun tidak perasan bila lori itu sampai.

“Saya hanya sempat menjerit panggil nama adik tetapi adik tidak mampu bergerak lalu kakinya digilis kenderaan berat itu.

“Saya nampak kaki adik kena gilis lori depan mata,” katanya sayu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belia 2 di sini malam tadi.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Shamin Amira membe­ritahu, adik tirinya itu baharu bertukar sekolah sama dengannya sejak sesi persekolahan dibuka awal bulan ini dan kedua-dua mereka berulang-alik menunggang motosikal.

“Saya seperti biasa bawa motosikal perlahan sahaja. Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta memotong kami lalu brek dengan mengejut.

“Saya tidak sempat elak lalu bergesel dengan kereta itu menyebabkan saya dan adik terjatuh ke jalan. Bila nampak saya dan adik jatuh, dia (pemandu kereta) terus pecut me­ninggalkan kami,” dakwanya.

Walaupun masih trauma dengan kejadian itu, dia yang terseliuh pada bahagian lutut bersyukur kerana adik tirinya selamat.