Dalam kejadian pada pukul 8.33 pagi itu, mangsa, Mohd. Azam Karimin, 27, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ismail Dollah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kulai menuju ke tempat kerjanya di Singapura.

“Sejurus sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah melanggar kereta Perodua Myvi yang mengubah lorong secara perlahan dari lorong paling kanan ke lorong kecemasan untuk membantu saudaranya yang terlibat kemalangan sebelum itu.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh sebelum dilanggar tiga buah motosikal lain yang gagal mengelak kerana jarak terlalu hampir,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ismail berkata, pemandu kereta yang juga penyelia kilang di Singapura berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan manakala tiga penunggang motosikal berkenaan hanya cedera ringan. - UTUSAN ONLINE