Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penjawat awam merupakan benteng kerajaan kerana berusaha sedaya upaya melaksanakan segala dasar yang ditetapkan.

Beliau berkata, segala dasar kerajaan tidak kira untuk jangka pendek atau panjang akan dapat direalisasikan dengan sempurna sekiranya penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

“Ada pula pihak di seberang sana (pembangkang) yang mula bercakap-cakap ingin me­nguncupkan saiz perkhidmatan awam sehingga ada yang melabelkan mereka (penjawat awam) sebagai ‘kucing kurap’.

“Oleh itu, saya hendak be­ritahu kita (kerajaan) tidak akan menguncupkan saiz perkhidmatan awam. Malah, penjawat awam berstatus kontrak juga kita akan sambung perkhidmatannya.

“Justeru, tuan-tuan (penjawat awam) boleh mempengaruhi orang lain dan dapat meyakinkan khalayak bahawa kepemimpinan sedia ada merupakan pilihan terbaik untuk negeri ini (Kelantan) dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 penjawat awam sempena program Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di pekarangan Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu merangkap Pengerusi Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Menurut Najib, beliau juga berazam menjadikan Malaysia sebagai negara ke-20 terbaik dan terunggul di dunia.

“Insya-Allah masa depan kita akan lebih terjamin dan saya berazam untuk membawa negara ini ke arah yang lebih baik.

“Tiada sebab kita tidak mampu mengejar impian kerana sudah ada kerajaan yang kuat dan kukuh,” jelasnya.