Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Kapten Angkatan Pertahanan Awam (APM), Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak 759 keluarga masih menduduki 21 pusat pemindahan yang dibuka di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.

“Di Kota Setar, sebanyak 1,026 mangsa daripada 312 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan yang masih dibuka sehingga kini.

“Seramai 522 orang daripada 240 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan di Kubang Pasu manakala di Pendang hanya pusat pemindahan Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dibuka membabitkan 280 orang daripada 77 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, empat pusat pemindahan masih beroperasi di Pokok Sena iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, dewan orang ramai Kampung Empa, Dewan Kampung Permatang Limau dan Dewan Lubuk Keriang membabitkan 525 mangsa daripada 127 keluarga. - UTUSAN ONLINE