Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi berkata, setakat ini, sebanyak tiga PPS dibuka di Kota Setar, lima di Baling dan sebuah di Kubang Pasu manakala PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong di Baling yang menempatkan empat orang mangsa telah ditutup kira-kira pukul 3 petang tadi.

Katanya, di Kota Setar, seramai 251 mangsa daripada 104 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Surau Al-Syakirin, Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung dan SK Titi Gajah.

“PPS Suka Menanti dibuka kira-kira pada pukul 6 petang bagi menempatkan seramai 12 orang mangsa daripada tiga keluarga.

"Di kawasan Siong, Baling pula, seramai 185 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan iaitu Dewan Risda Kampung Tanjung Pari, Dewan Orang Ramai Keda Batu 8, Dewan Kampung Weng Luar dan Dewan Batu 60," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, untuk kawasan Bongor, Baling, seramai 57 daripada 18 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derom.

"Bagi daerah Kubang Pasu pula, hanya sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu di PPK Lubuk Batu membabitkan seramai 77 mangsa daripada 21 keluarga," jelasnya.

Tambahnya, jumlah mangsa banjir meningkat berbanding pukul 4 petang tadi iaitu seramai 501 mangsa daripada 151 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan berkenaan. - UTUSAN ONLINE