Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pusat pemindahan tersebut buat masa ini menyediakan penempatan kepada 11,308 mangsa terdiri daripada 3,308 keluarga.

Menurutnya, JKM juga sehingga kini telah menyalurkan peruntukan permulaan berjumlah RM500,000 bagi menampung keperluan asas di pusat-pusat terlibat.

“Antara tindakan yang dibuat adalah menggerakkan petugas seperti pegawai psikologi dan sukarelawan JKM dari negeri-negeri berhampiran seperti Perak, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu melancarkan pengurusan bencana.

“Dianggarkan sebanyak 67 orang telah memulakan tugas di lokasi bencana dan bilangan ini akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rohani menambah, Bilik Gerakan JKM diaktifkan bagi memantau dan menyelaras secara dekat operasi pusat-pusat pemindahan serta memastikan bekalan mencukupi di negeri-negeri yang dilanda musibah.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan para ibu bapa supaya sentiasa mengawasi aktiviti anak masing-masing agar tidak bermain air manakala semua mangsa banjir perlu mematuhi arahan pihak berkuasa pada setiap masa.