Lelaki tersebut yang merupakan jiran mangsa menyedari kejadian itu setelah terhidu dan melihat kepulan asap daripada rumah mangsa pada pukul 8.20 malam.

Menantu kepada warga emas tersebut, Azizi Razlan Mawar, 56, berkata, ketika kejadian ibu mertuanya yang berusia lingkungan 80-an tinggal di rumah tersebut bersama tiga cucu perempuan dan seorang cucu lelaki yang berusia antara enam hingga 17 tahun.

Katanya, semasa kebakaran, anak dan menantu serta cucunya yang tinggal di rumah bersebelahan tiada di rumah kerana telah keluar ke kedai.

“Jiran saya terhidu bau hangit sebelum melihat api dari rumah anak saya. Dia cuba memecahkan pintu namun gagal kerana berkunci sebelum menyelamatkan ibu mertua dan empat cucu di rumah sebelah.

“Saya bersyukur semuanya selamat walaupun tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen. Sekarang kami hanya tinggal sehelai sepinggang kerana semuanya telah hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Zamri Awang Long berkata, anggota dan jentera bomba dihantar ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.26 malam.

Katanya, ketika pihaknya sampai, api sedang marak membakar sebuah rumah dua pintu itu.

“Rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 80 peratus dan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran,” katanya. - UTUSAN ONLINE