Jenazah Mohd. Nizam Suhaidin, 34, dan isteri, Noor Hafizah Ismail, 34, serta anak mereka, Muhammad Afiq berusia enam tahun dikebumikan dalam satu liang lahad.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri lebih 200 ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung.

Terdahulu, jenazah ketiga-tiga mangsa dibawa dari Hospital Grik menaiki dua van jenazah pada pukul 12 tengah hari tadi.

Hujan renyai-renyai mengiringi ketibaan jenazah di Masjid Al-Amir Mukim Wakaf Bata kira- kira pukul 3 petang dan disembahyangkan.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Wakaf Bata kira-kira pukul 5.30 petang.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam, tiga sekeluarga itu maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan balak ketika dalam perjalanan pulang ke Machang selepas menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarganya di Bukit Bertam, Selama.

Turut terkorban dalam kemalangan ialah pemandu lori, Redzuan Abd Ghani, 57.

Manakala bayi pasangan berkenaan, Nur Hanania Maisarah berusia dua tahun kini berada dalam keadaan kritikal dan mendapat rawatan di Hospital Ipoh. - UTUSAN ONLINE