Terdahulu jenazah Allahyarham dari Hospital Pattani, Thailand tiba di pekarangan rumahnya kira-kira pukul 6.10 petang dengan sebuah van jenazah. Turut kelihatan, suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42.

Suasana pilu menyelubungi rumah mereka apabila kesemua anak pasangan itu seramai lapan orang yang berumur 10 tahun hingga 20 tahun berlari memeluk Ahmad Shah Rizal yang terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Pekarangan rumah mereka dipenuhi ahli keluarga, saudara, sahabat dan kenalan yang hadir sejak tengah hari ini.

Lebih 300 orang hadir di upacara pengebumian Allahyarham Faziani selain turut menunaikan solat jenazah.

Ahmad Shah Rizal gagal menahan sebak tatkala jenazah isterinya diturunkan ke liang lahad manakala anak-anak mereka menangis sambil saling berpelukan menyebabkan hadirin yang lain turut sedih melihat mereka.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi tadi pengasas produk kecantikan itu maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki bersama suaminya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani, Thailand.

Semasa kejadian mereka suami isteri dalam perjalanan menyerahkan wang zakat kepada salah sebuah pondok di kawasan berkenaan.

Mangsa telah maut di lokasi kejadian akibat parah dan tersepit di bahagian penumpang hadapan, manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal cedera ringan di bahagian mata kanan. - UTUSAN ONLINE