Jenazah Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30, isteri, Zinnirah Abdul Hamid, 28, dan anak mereka Nur Maghfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4, dan Nur Alia Humairah, 3 bulan, tiba dari Hospital Daerah Segamat (HDS) pukul 12.45 tengah hari.

Kira-kira 100 ahli keluarga dan penduduk setempat datang menziarahi dan mereka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan sebentar lagi.

Dalam kejadian pada pukul 6.10 petang semalam kereta Perodua Viva dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 176 Johor Bahru-Seremban, Segamat.

Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa maut di tempat kejadian manakala Nur Alia Humairah
meninggal dunia semasa mendapat rawatan di HDS.

Sementara seorang lagi anak mangsa yang turut menaiki kereta itu, Nur Ghaziyah Athirah, 3, cedera parah dan masih dirawat di Unit Kecemasan HDS. - UTUSAN ONLINE