Fatin Arina Mohd Asri, 23; Haifa Amira, 22, dan Anis Suraya, 10, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bukit Gading, kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kira-kira 200 saudara-mara dan penduduk setempat yang hadir turut sebak melihat ahli keluarga mangsa termasuk tunang Fatin Arina, Wan Mohd. Fauzul Azam Wan Rais, 24, mengalirkan air mata ketika jenazah gadis itu dibawa masuk ke liang lahad.

Fatin Arina dan Wan Mohd. Fauzul Azam mengikat tali pertunangan setahun lalu dan dijadual melangsungkan perkahwinan pada 8 Jun depan.

Pemuda yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur itu berkata, memandangkan perkahwinan mereka hanya berbaki empat bulan, barang hantaran sudah pun dibeli manakala kebanyakan persiapan untuk majlis tersebut sudah hampir selesai.

"Saya akan serahkan barang hantaran untuk arwah kepada keluarganya. Saya reda dengan pemergian tunang dan sentiasa berdoa semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman," katanya.

Dalam kejadian pukul 1 petang semalam, Fatin Arina dan Anis Suraya maut di lokasi nahas selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung de­ngan sebuah kereta Proton Wira manakala Haifa Amira meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Tiga beradik terbabit dikatakan dalam perjalanan untuk menjemput ibu saudara mereka di Pasir Mas sebelum ke Kota Bharu untuk mengambil ubat di Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Kerian.