Naib Canselornya, Prof. Datuk  Dr. Nor Aieni Mokhtar memberitahu, persediaan awal telah digerakkan dengan mengambil tiga pendekatan utama iaitu sebelum, semasa  dan selepas  bencana bagi mengurangkan risiko.

"Ini dilakukan  dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi keselamatan di negeri ini termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan PertahananAwam Malaysia (JPAN).

Melalui jawatankuasa ini, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dibentuk yang akan memberi khidmat  meliputi mukim-mukim sekitar yang turut melibatkan para pelajar UMT yang tinggal di luar kampus bersama komuniti setempat.

"Semua aset pengangkutan akan dikerahkan dan Bilik Gerakan UMT telah bersedia untuk sebarang maklum balas.

"Jawatankuasa ini turut memberi peluang kepada pelajar UMT dan kakitangan untuk terlibat menyumbangkan bantuan melalui kerja-kerja sukarelawanan sejajar dengan pelaksanaan program Gap Year Volunteerism UMT," ujarnya dalam satu kenyataan.

UMT dan kawasan sekitar turut dilanda  banjir besar pada penghujung 2014 dan kawasan berhampiran kampus juga berdepan dengan masalah hakisan pantai yang serius dan mencemaskan penduduk.

Sehubungan itu Seminar Hakisan Pantai dan Banjir Kuala Nerus digerakkan pada 2015 untuk menilai keadaan dan mencari langkah susulan bagi mengurangkan risiko di sesuatu kawasan termasuk penyelenggaraan sistem perparitan, pemasangan culvert dan  pembinaan benteng.

Malah, UMT mengambil inisiatif mewujudkan pasukan Forensik Banjir bagi menjalankan kajian mengenal pasti punca dan impak fenomena itu kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial, membawa kepada beberapa langkah susulan dilakukan yang membantu meredakan keadaan. - UTUSAN ONLINE