KOTA BELUD 14 ogos - Jari tengah kanan seorang kanak-kanak lelaki bengkak selepas tersepit pada lubang alat permainan fidget spinner di rumahnya di Kota Belud di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, mangsa yang dihantar ke Hospital Kota Belud terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud bagi memotong permainan tersebut. 


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Roslan Osman, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Hospital Kota Belud pada pukul 6.59 petang.


“Seramai lapan anggota dikerah ke hospital berkenaan dan sebaik sahaja tiba kita mendapati jari tengah mangsa tersepit membengkak kerana tersangkut pada alat permainan spinner.


“Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan jari mangsa dengan menggunakan kikir besi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 


Tambahnya, sebaik sahaja berjaya mengeluarkan alat permainan itu mangsa kemudiannya menerima rawatan lanjut di hospital berkenaan - UTUSAN ONLINE