Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Datuk Mohamad Anil Shah berkata, pihaknya kini menggerakkan kekuatan anggota maksimum bagi membantu mangsa banjir terutama mereka yang perlu berpindah.

Menurut beliau, pihaknya juga akan bersedia 24 jam di semua daerah serta membekukan cuti semua anggota yang terlibat bagi memberi perkhidmatan kepada mangsa.

“Polis juga bekerjasama dengan beberapa agensi lain bagi membantu operasi menyelamat antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat;  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan.

“Beberapa jalan utama juga telah ditutup selepas ditenggelami air seperti laluan Lebuhraya Butterwoth Kulim, Jalan Bertam  Indah, Jalan Siakap dan banyak lagi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini hari ini.

Tambahnya, polis sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi bencana seperti ketika ini dan akan menggerakkan segala aset seperti lori, bot dan pacuan empat roda.

Jelasnya, terdapat empat kematian sepanjang bencana ini berlalu iaitu melibatkan dua warga emas di Georgetown dan seorang warga asing yang lemas selepas pokok tumbang menghempapnya di Kampung Perlis, Bagan Dalam sini. - UTUSAN ONLINE