Jambatan sementara itu teng­gelam mulai pukul 6.30 petang apabila hujan lebat berterusan di kawasan hulu sejak petang semalam.

Seorang pengguna jalan raya, Saiful Azam Mohamad, 35, berkata, air Sungai Nenggiri itu masih belum surut dan melimpahi jambatan sementara menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan terkandas serta urusan penduduk kampung tergendala.

Katanya, pengguna jalan raya yang ingin melalui jambatan itu untuk ke Jeli terpaksa  berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif lain.

"Sisa kayu dilihat turut melekat pada jambatan sementara itu setiap kali air sungai naik.

"Kita berharap penduduk bersabar dan tidak bergadai nyawa untuk menyeberangi jambatan tersebut," katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ahmad Kamizi Jalil berkata, pada tahun ini sahaja sudah 23 kali jamba­tan itu ditenggelami air sungai.

Katanya, penduduk di 10 buah kampung sentiasa cemas setiap kali hujan lebat.

"Setiap kali hujan lebat jambatan sementara ini tenggelam  dan memberi masalah kepada penduduk sejak jambatan kekal runtuh pada banjir besar penghujung Disember 2014 lalu.

"Masalah itu menyukarkan kami untuk ke bandar Gua Musang dan juga kepada pengguna jalan raya Gua Musang-Jeli," katanya. - UTUSAN ONLINE