Menurut Kementerian Luar, nahas tersebut turut mengorbankan tiga lagi diplomat asing iaitu Duta Besar Norway, dan Filipina, terma- suk isteri Duta Besar Indonesia.

“Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan di Islamabad, Datuk Dr. Hasrul Sani Mujtabar dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dan sedang dirawat di Hospital Gilgit.

“Helikopter tersebut sedang membawa diplomat-diplomat asing dan isteri mereka dalam rangka satu program rasmi kerajaan Pakistan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sedang dalam usaha untuk mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian tersebut.

Tambah kenyataan itu, Kementerian Luar turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa-mangsa nahas tersebut.

Dalam pada itu, AFP melaporkan helikopter terbabit terhempas di atas bangunan sekolah di utara Pakistan dan terbakar di kawasan itu.

Menurut jurucakap tentera Pakistan, antara yang terkorban ialah Duta Norway, Leif H. Larsen; Duta Filipina, Domingo D. Lucenario Jr; isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Habibah Mahmud, isteri Duta Indonesia, Heri Listyawati Burhan Muhammad dan dua juruterbang.

Helikopter tersebut adalah satu daripada tiga buah helikopter yang digunakan bagi membawa diplomat asing dalam lawatan tiga hari ke wilayah Gilgit-Baltisan.

Duta Poland, Andrzej Ananiczo- lish dan Duta Belanda, Marcel de Vink turut mengalami kecederaan dalam nahas tersebut.

Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif dalam satu kenyataan melahirkan kesedihan atas tragedi tersebut.

Beliau yang dalam perjalanan ke wilayah tersebut berpatah balik ke Islamabad selepas mengetahui berita itu.

Berdasarkan senarai penumpang yang diperoleh AFP, Duta Indonesia, Lebanon, Belanda, Romania, Norway, Afrika Selatan, Filipina, Poland dan Hasrul Sani dijadual menaiki helikopter tersebut.

“Ini merupakan penerbangan yang membawa rombongan diplomatik asing dari 37 buah negara,” ujar seorang penumpang yang enggan dikenali.

Penumpang tersebut berkata, delegasi itu sepatutnya menggunakan empat buah helikopter tetapi kemudian dikurangkan menjadi tiga buah sahaja.

Kumpulan militan Taliban Pakistan mendakwa bertanggungjawab menembak jatuh helikopter itu dan menjadikan Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif sebagai sasaran menggunakan peluru anti-pesawat.