Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, Nur Ayuni Mahassan, 27, menghembuskan nafasnya yang terakhir di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan selepas motosikal yang naikinya bersama Agus Salim Sakban Nuddin, 29, hilang kawalan lalu merempuh dinding sebuah rumah berhampiran lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ruslan Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha NMAX itu datang dari arah pekan Tanjong Karang menghala ke rumah mereka di Jalan Bomba di sini.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, penunggang motorsikal dipercayai dapat tidak mengawal kenderaannya sebelum terbabas lalu merempuh rumah yang berada berhampiran tepi jalan tersebut.

“Akibat daripada kemalangan itu, pembonceng (Nur Ayuni) telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal (Agus Salim) mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya.

Kata Ruslan, mangsa yang cedera kemudiannya di bawa ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan manakala mayat isteri mangsa juga di bawa ke hospital sama untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Setakat ini belum ada saksi yang tampil beri keterangan berhubung kejadian. Namun, kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Norasyikin Roslan di talian 010-2621743 bagi membantu siasatan,” ujarnya yang turut menyatakan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE.