Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, isteri anggota berkenaan, Ku Noor Shakila Ku Sharudin, 25, dan dua anak mereka, Mia Iris Safiya, 2, serta Maya Iris Safiya berusia empat bulan masih belum sedar dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

“Hingga kini, mereka tidak dibenarkan menerima pelawat dan hanya waris sahaja dibenarkan menunggu,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, anggota polis berkenaan, Muhammad Amirul Naim Aziz,24, maut apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki bersama keluarganya bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Murano di Jalan Bukit Chabang, Padang Besar dekat sini.

Selain Muhammad Amirul, turut terkorban dalam nahas ngeri ketika ribut dan hujan lebat kira-kira pukul 9.30 malam itu ialah pasangan suami isteri iaitu Mohd. Hafiz Johari, 28, dan Siti Asmah Abdul Khalid, 27.

Jenazah Muhammad Amirul Naim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seriab di sini manakala jenazah Mohd. Hafiz, Siti Asmah serta kandungannya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kok Mak, Padang Besar kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Dalam pada itu, Alya Huwaynaa,4, yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapanya terkorban dalam nahas itu dilaporkan mengalami kecederaan patah kaki dan kini berada di bawah jagaan datuk serta neneknya di Kampung Kok Mak.

Saudara kanak-kanak berkenaan, Nor Shahril Md. Yusop, 27, berkata, pada masa ini, Alya hanya berehat di rumah dan tidak banyak bercakap.

“Alya masih tidak mengerti apa yang berlaku (kehilangan ayah dan ibu) dan pada masa ini dia tidak lagi bertanya ke mana ayah dan ibunya. Selepas ini, tidak tahu lah,” katanya, di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE