Namun tindakan itu bukan se­suatu yang disengajakan kerana dia sebenarnya tidak sihat dan sedikit kurang bermaya kesan pengambilan ubat demam dan selesema.

“Mulanya saya tak mahu pergi ke sana. Tetapi kerana kasihankan anak-anak yang mendesak ter­utamanya Qis­tina Puteri yang baru selesai menjalani peperiksaan akhir tahun, saya turutkan juga sementelah beberapa kenalan membawa anak masing-masing.

“Apabila tiba di sana, saya hanya menanti dalam kereta manakala mereka bertiga mengikut rakan-rakan yang turut membawa anak masing-masing. Namun hanya dalam tempoh lima minit selepas itu, saya terkejut apabila melihat deruan air yang mulanya tenang tiba-tiba menjadi deras dari kawasan sungai berhampiran,” katanya.

Tambahnya, tidak berapa lama kemudian, dia ternampak seorang lelaki warga asing berlari dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya tanyakan kepa­da­nya kenapa dia berlari dan dia menjawab, ada orang dihanyutkan air. Men­de­ngar­kan itu saya terus keluar daripada kereta untuk melihat keadaan anak-anak.

“Di pertengahan jalan, sa­ya terlihat kedua-dua anak le­­laki yang selamat dalam jagaan salah seorang rakan. Namun, hati saya luluh apabila dimaklumkan Qistina Puteri merupakan salah seorang daripada yang diha­nyutkan arus deras tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ranggut di sini hari ini.

Selain Qistina Puteri, kejadian itu turut mengorbankan ra­kan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan Kuala Teriang, Noraiman Wahida Mohd. Rosli, 11, yang juga jirannya.

Jenazah kedua-dua mere­ka disembahyangkan di su­rau kam­pung tersebut tetapi di­kebumikan di tanah perkuburan yang berbeza.

Dalam pada itu, Farmila menjelaskan, kedua-dua anak lelakinya itu terselamat kerana sempat dihalang oleh salah seorang rakan yang menjaga mereka daripada terus naik ke kawasan yang lebih tinggi di pusat rekreasi tersebut.

“Namun Qistina Puteri sudah pergi mengikut ra­kan lain. Sesuatu yang memilukan, selepas kejadian, datang seorang lelaki menyatakan dia sempat memegang Qistina Putri tetapi tidak berdaya menyelamatkannya kerana arus yang terlalu deras.

“Saya kasihan melihat pemuda itu kerana dia jelas berusaha sehingga mengalami kecederaan termasuk luka-luka di beberapa anggota badan. Seluar jeans dipakainya terkoyak manakala segala dompet dan dokumen peribadi turut hilang dibawa arus kerana cuba menyelamatkan anak saya,” katanya.