Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa 50-an maut di tempat kejadian dipercayai akibat lemas selepas terperangkap dalam kereta jenis Honda Jazz.

Anak perempuan mangsa yang berusia lingkungan 20-an pula terselamat tetapi mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan akibat tercampak keluar dari kenderaan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangjong Karang, Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.46 pagi.

"Sebaik sampai, anggota bomba melakukan pencarian bagi mengesan mangsa dan kita berjaya mengesan kedudukan kereta itu pada kedalaman lapan meter.

"Dengan bantuan Skuad Skuba Bomba Selangor dari Shah Alam, mayat mangsa dikeluarkan dari kereta yang tenggelam itu sebelum sebuah kren digunakan untuk menaikkan kereta tersebut," katanya.

Menurut Azmi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk urusan seterusnya manakala mangsa yang terselamat pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.-UTUSAN ONLINE