Lebih menyayat hati, mangsa Nurbani Fartini Ahmad Farnizar, 25 yang merupakan seorang suri rumah dan bayi perempuannya, Nur Fauzana Mohd Nazrin me­ninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah setelah tercampak keluar daripada kereta berkenaan yang baharu sahaja dibeli tiga hari lalu.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Zailani Yaakub berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, kereta Honda Accord yang dipandu suami mangsa, Mohd Nazrin Nizam, 25, dari arah Kuala Terengganu ke Dungun dipercayai terbabas akibat salah satu tayar belakang kereta itu meletup.

“Kereta tersebut hilang kawalan sebelum merempuh sebatang tiang lampu di tengah pembahagi jalan dan terbalik di laluan bertentangan.

“Wanita dan bayinya itu yang duduk di sebelah pemandu dikatakan tercampak keluar akibat kemalangan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zailani, suami mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar dari kereta yang remuk itu melalui cermin belakang.

Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Kuala Terenggnu untuk dikebumikan di tanah perkuburan Pasir Panjang.

Seorang saksi, Mohd Azmi Mohd Zohir, 38, yang be­kerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Kuala Abang memberitahu, dia terdengar satu letupan kuat sebelum melihat kereta tersebut terbang ke laluan bertentangan.

“Ketika itu waktu persekolahan sudah pun tamat dan selepas mendengar letupan tersebut saya terus berlari ke arah kereta itu dan melihat ibu dan bayi tersebut berada di atas jalan,” ujarnya.

Sementara itu, bapa Nurbani Fartini, Ahmad Fanizar Md Taha, 48, ketika ditemui membe­ritahu, semasa kejadian mereka dalam perjalanan pulang dari rumahnya di Kuala Terengganu ke rumah keluarga menantunya.

“Sebelum saya tinggalkan mereka untuk keluar bekerja, saya sempat bermesra dan bermain dengan cucu saya itu tetapi dia diam sahaja. Sejam kemudian saya menerima khabar anak sulung saya dan cucu saya telah tiada lagi,” katanya.