Malah pasangan itu, Rosnani Ibrahim,50-an, dan suaminya, Wan Kamaruzzaman Wan Mohamad, 50-an yang baru tiba dari Mekah sempat memandikan jenazah Wan Nor Afifah Wan Mohd. Kamaruzzaman,28, Wan Nor Athirah, 27, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi,14.

Terdahulu, pasangan ber­kenaan yang tiba di Unit Forensik Hospital Kemaman kira-kira 3.45 petang tidak dapat menahan sebak dan terpaksa dipapah oleh ahli keluarga untuk melihat ketiga-tiga jenazah anaknya itu.

Ketiga-tiga jenazah itu kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Binjai dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapur, Binjai dekat sini kira-kira pukul 8.40 malam.

Jenazah Wan Nor Afifah, Wan Nor Athirah dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi dikebumikan dalam satu liang lahad.

Turut pulang bersama ibu bapa mangsa dari Mekah ialah adik perempuan, Wan Nur Aqilah, 20.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi semalam, Wan Nur Athirah, Wan Nur Afifah dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter dinaiki terbabas sebelum terhumban ke dalam parit di tepi laluan utama Jalan Pekan-Kuantan.

Dua lagi penumpang iaitu ibu saudara mereka, Salmah Ibrahim, 58, serta anaknya, Nurul Aliani Zawawi, 25, cedera dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Am­puan Afzan (HTAA)

Sementara itu, salah seorang keluarga mangsa, Ahmad Basir, 27, mengucapkan terima kasih kepada ejen pengurusan umrah, Reyhar Travels Sdn Bhd dalam menguruskan kepulangan tiga beranak itu ke tanah air bagi melihat jenazah untuk kali terakhir.