Jenazah tiga beranak tersebut yang terkorban dalam nahas di Jalan Bukit Chabang, Padang Besar, di sini malam tadi, dikebumikan kira-kira pukul 5.30 petang tadi yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan penduduk setempat.

Bagaimanapun, anak pasangan mangsa yang terselamat dalam kejadian itu, Alya Huwaynaa, 4, tidak dibawa ke tanah perkuburan berkenaan kerana masih mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Sementara itu, abang ipar kepada Allahyarham Mohd. Hafiz Johari, Mohd. Asharuldin Zainal Abidin, 31, berkata, Alya berkemungkinan akan dijaga oleh datuknya di sebelah ibu memandangkan hubungan mereka yang rapat.

“Datuk dan nenek di sebelah ibu rapat dengan Alya kerana apabila kedua-dua ibu bapanya pergi kerja, Alya akan dijaga oleh mereka.

"Kami sekeluarga akan terus memberi kasih sayang kepada Alya sebagai pengganti tempat kedua-dua orang tuanya,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, pasangan berkenaan Mohd. Hafiz serta isterinya, Siti Asmah Abdul Khalid, 27, bersama Alya yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Murano telah bertembung dengan kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang anggota polis.

Kemalangan tersebut juga menyebabkan anggota polis tersebut, Muhamad Amirul Naim Aziz, 24, maut manakala isterinya koma serta dua anak mereka yang berusia dua tahun dan empat bulan masih dirawat di hospital.

Sementara itu, jenazah Muhamad Amirul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seriab tengah hari tadi. - UTUSAN ONLINE