Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an manakala anak lelakinya berusia sembilan tahun sebelum kejadian difahamkan dalam perjalanan dari arah Sungai Besar menuju ke sebuah sekolah rendah di Bagan Terap, di sini.

Bagaimanapun, kenderaan mereka dikatakan telah hilang kawalan serta melanggar sebuah motosikal Honda Wave yang dinaiki dua lelaki.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Kamisan Marimin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 7.18 pagi sebelum mengerahkan sebuah jentera FRT bersama-sama lapan anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian.

“Apabila sampai ke lokasi, kita dapati kereta yang dinaiki mangsa berada dalam keadaan terbalik serta tenggelam di dalam parit berkenaan. Paras air di dalam parit ketika itu dianggarkan sedalam kira-kira 1.5 meter.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan lebih awal dengan bantuan orang ramai. Mangsa wanita tidak mengalami sebarang kecederaan manakala anaknya hanya cedera ringan di bahagian pipi dan kaki,” katanya yang turut memaklumkan kedua-dua pengunggang motosikal turut mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.

Tambah Kamisan, kesemua mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE.