Ketua Unit Pemodelan Alam Sekitar, Pusat Kecemerlangan Forensik Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hafizan Juahir berkata, melihat kepada kerosakan harta benda dan bencana yang berlaku sewaktu banjir tersebut, ia boleh diibaratkan seperti tsunami kecil.

“Pemotongan cerun serta pe­rataan tanah yang tidak terkawal menyebabkan hakisan tanah berlaku sehingga menjadikan sungai dan parit semakin cetek.

“Selain itu, kerancakan pembangunan tanpa disusuli sistem perparitan yang bersesuaian juga menjadi salah satu faktor berlakunya banjir yang dahsyat di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, fenomena hujan lebat dan ribut berterusan menyebabkan sebahagian besar da­ripada kawasan di Pulau Pinang ditenggelami air, yang merupakan banjir terburuk dalam sejarah.

Kejadian tersebut menyebabkan beberapa kawasan terjejas akibat tanah runtuh dan turut dilaporkan tujuh maut akibat banjir yang berlaku.

Jelas Hafizan lagi, tidak dinafikan hujan lebat yang berterusan hampir 17 jam menjadi punca utama berlakunya banjir tersebut, tetapi ketamakan manusia dalam mengejar keuntungan juga adalah faktornya.

“Inilah harga yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri apabila mengabaikan kepentingan alam sekitar, sekecil-kecil tumbuhan di muka bumi ini ada peranannya.

“Maka, berpada-padalah dalam melakukan pembangunan dan ia perlu dilakukan secara seimbang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, kejadian itu adalah satu pengajaran yang besar untuk kerajaan negeri bagi memperbetulkan segala kesilapan yang menyebabkan berlakunya bencana seperti semalam.

“Selepas kejadian ini diha­rapkan kerajaan negeri mengambil iktibar dan perlu membuat kajian yang lebih terperinci bagi mendapatkan maklumat di mana punca-punca lain yang menyebabkan bencana itu berlaku,” jelasnya.