Seorang penduduk, Che Nab Senik, 70, berkata, apabila tiba situasi itu, dia dan keluarga akan membuat persiapan termasuk memindahkan semua harta benda dan binatang ternakan ke tempat yang lebih selamat.

Menurutnya, hujan tak celik mata tersebut dijadikan sebagai pedoman memandangkan dia sudah terdedah dengan situasi berkenaan sejak kecil lagi.

“Kebiasaannya jika hujan masih berterusan sehingga masuk hari ketiga, penduduk di sini sudah selamat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kebanyakkan penduduk Kampung Siram ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pohon Tanjung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Che Nab memberitahu, kebiasaannya banjir sebenar akan berlaku pada penghujung November atau awal Disember.

“Pertambahan paras air Sungai Golok akibat hujan lebat beberapa hari lalu sebenarnya masih awal untuk dikatakan sebagai isyarat banjir sebenar sudah tiba,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE