Hajat nelayan itu untuk mengadakan majlis tahlil malam ini tidak kesampaian setelah segala persiapan tidak dapat diselamatkan.

Menurut Ismail , semasa kebakaran kira-kira pukul 10 pagi, dia keluar minum warung berhampiran.

Ketika itu tiga ahli keluarga berada di rumah iaitu adiknya, Ghani Abdullah, 52; anak saudaranya, Mohd Asrul Rahman, 30 dan cucunya, Mohd Amir Anuar, 14.

Api marak dengan pantas, dan kesemua mereka bergegas keluar tanpa dapat menyelamatkan apa-apa barangan.

“Saya menerima panggilan daripada anak saya memberitahu yang rumah sedang terbakar dan apabila sampai, luluh hati saya,” katanya.

Turut musnah, sebuah enjin sangkut yang bernilai RM 10,000 yang baru dibelinya dan masih belum sempat digunakan lagi.

Menurut Ismail, isterinya Salimah Ali, 65, meninggal dunia di Hospital Kemaman akibat penyakit paru-paru berair pada minggu lalu.

“Belum hilang rasa sedih sebab arwah meninggal, rumah yang kami tinggal bersama pun dah tak ada. Apa pun saya redha dengan dugaan ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ekoran kebakaran itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh yang kebetulan sedang menjalankan program gotong-royong tidak jauh daripada rumah mangsa, bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Mohd Fadzli Ismail berkata, bantuan segera berupa barang makanan dan keperluan harian termasuk wang tunai telah diserahkan.

“Mangsa juga akan peroleh bantuan bencana kebakaran dan bakal menerima bantuan pembinaan rumah bernilai RM45,000,” katanya. - UTUSAN ONLINE