Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, selain anaknya, Aniq Anaqi, turut maut isterinya, Munira Abd. Rahim, 30, serta bapa dan ibu mentuanya, Abd. Rahim Abd. Ghani, 61, dan Siti Fatimah Amat, 55.

Menurut Mohammad Fazzli, dia terkejut menerima berita kematian anak, isteri dan kedua-dua mertua­nya itu daripada abangnya, Mohammad Fauzie, 36.

Katanya, beberapa hari sebelum itu, keempat-empat ahli keluarga­nya bermalam di rumahnya di Taman Maju 2, Teluk Intan, Perak sebelum bertolak pulang ke Tanjung Karang, kira-kira pukul 10 pagi ini.

“Baru pukul 10 pagi tadi saya jumpa mereka. Sebelum bertolak, saya sempat cium dan peluk Aniq Anaqi dan berpesan untuk jumpa mereka di kampung, Khamis depan. Tak sangka itu ciuman dan pelukan terakhir saya buat Aniq Anaqi.

“Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini hari ini.

Dalam pada itu, adik kepada Mohammad Fazzli, Mohammad Faeezi, 22, berkata, dia terkejut apabila seorang awam menggunakan telefon bimbit kakak iparnya memaklumkan kejadian tersebut.

“Saya terkejut apabila pemang­gil tersebut memberitahu nama pada kad pengenalan itu milik kakak ipar (Munira).

“Saya terus hubungi abang (Mohammad Fazzli) tetapi telefonnya tidak berjawab lalu memaklumkan kepada abang kedua saya, Mohamad Fauzie yang kemudiannya memberitahu kepada Mohammad Fazzli,” katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintenden Sahimi Husin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12 tengah hari dan siasatan awal mendapati kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Jelas beliau, kejadian itu ber laku apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Sabak Bernam ke Sungai Besar terbabas dan memasuki lorong bersebelahan sebelum merempuh bahagian hadapan treler terbabit yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa remuk, manakala bahagian hadapan terperosok di bawah treler terbabit. Ketika kejadian, laluan tersebut mempunyai empat lorong tetapi hanya dua sahaja dibuka kerana ada kerja-kerja pembaikan jalan.

“Semua mangsa kemudiannya dihantar ke HTAJ untuk proses bedah siasat,” katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987.