Menurut Pegawai Bahagian Bencana Operasi Latihan dan Kebajikan APM negeri, Kapten (PA) Abdul Ba'ith Abdul Rahim, kedua-dua mayat itu adalah mangsa pertama berjaya dikeluarkannya bersama 16 Anggota APM ketika misi bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia di Petobo pada 14 hingga 25 Oktober lalu.

"Keadaan sungguh menghibakan apabila dua mayat reput yang tertimbus dalam tanah akibat gempa bumi dan tsunami ditemukan saling berpelukan. Di lokasi kedua pula, kami menemukan mayat ibu dan anak dengan tubuh sempurna tetapi bahagian kepala sudah reput.  Sebanyak tujuh mayat berjaya kami keluarkan di lokasi berkenaan.

"Jika diikutkan naluri manusia, memang kita sedih dengan keadaan begitu. Perasaan berdebar dan sedih bercampur ketika mengendalikan mayat mangsa, tetapi demi tugas yang diamanahkan saya tidak terlalu memikirkannya," katanya ketika ditemui di pejabat APM Negeri Sembilan di sini semalam.

Misi tersebut yang diadakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dari Indonesia, LAZIS Wahdah berjaya mengedarkan 800 kotak makanan, 400 kotak produk kebersihan diri dan 400 kit solat.

Sementara itu, Pengarah APM negeri, Leftenan kolonel (PA) Fazlisyah Muslim turut berkongsi pengalaman semasa menyertai misi bantuan di negara itu di bawah Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) selama dua minggu bermula 29 September lalu.

"Penempatan di sepanjang kawasan pantai musnah akibat gempa bumi serta impak kuat tsunami. Rata-rata bangunan besar seperti hotel dan pasar raya rosak teruk dan tidak selamat untuk dimasuki bagi misi menyelamat.

"Pada minggu pertama tiba di Palu, keadaan agak huru-hara sebab bekalan elektrik terputus, tiada air bersih untuk diminum, jalan raya rosak teruk dan bekalan bahan api semakin habis," katanya yang merupakan antara dua pegawai APM di Malaysia yang menyertai misi berkenaan. - UTUSAN ONLINE