Lebih meremukkan hatinya, anaknya itu, Noor Atifah Abi Suffian, 2, yang kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh berulang kali memanggil namanya ketika api membakar seluruh badan kanak-kanak tersebut sebelum diselamatkan adik Noor Atikah, dengan membawa Noor Atifah terjun ke dalam kolam ikan.

Menceritakan kembali kejadian malang yang berlaku kira-kira pukul 2 petang semalam di Kampung Parit 12, Sungai Nibong di sini itu, Noor Atikah berkata, dia cuba menghidupkan api dengan memasukkan petrol ke dalam tempurung kelapa dan tidak menyangka tindakan tersebut menyebabkan api marak dan terus menyambarnya.

“Saya mengelak sambaran api tersebut dan tanpa saya sedar rupa-rupanya Noor Atifah ada di belakang kerana sebelum itu dia berada di atas rumah, menyebabkan api itu terkena padanya dan terus membakar seluruh badannya. Melihat keadaan itu saya menjerit sambil berusaha memadamkan api menggunakan ta­ngan sehingga saya sendiri melecur.

“Tetapi usaha saya tidak berjaya sehinggalah adik saya, Shahrul Nizam, 20, yang mendengar jeritan saya datang mendakap Noor Atifah dan membawanya terjun ke dalam kolam ikan di belakang rumah,” katanya dalam linangan air mata ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Shahrul Nizam turut melecur di tangan dan kaki tetapi keadaannya tidak serius.

Bercerita lanjut, Noor Atikah memberitahu, saat paling menghibakannya ialah apabila dia memangku anaknya yang sudah dalam keadaan amat lemah untuk mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Simpang Lima, sebelum ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

“Hanya Allah SWT sahaja tahu betapa sayunya hati saya bila mengenangkan semua yang terjadi ini dan lebih-lebih lagi masih jelas terngiang-ngiang teriakan anak saya ‘ibu api, ibu api’. Saya berdoa kepada Allah SWT, selamatkanlah anak saya,” katanya teresak-esak menangis.