Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Mersing, Nur Najibah Abdullah berkata, kejadian pukul 2.28 petang itu disedari anggotanya yang bertugas di Menara Penyelamat Pantai apabila melihat terdapat mangsa dalam keadaan terkapai-kapai.

"Kanak-kanak itu dan tiga lelaki dewasa berusia antara 23 hingga 36 tahun itu berjaya diselamatkan anggota APM dengan bantuan orang awam. Dua daripada mangsa, iaitu seorang kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa telah dihantar ke hospital berdekatan berikutan keadaan mereka yang lemah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nur Najibah, kejadian dipercayai berlaku apabila salah seorang mangsa hampir lemas dan mangsa yang lain cuba membantu, namun punca sebenar kejadian masih disiasat.

Difahamkan kanak-kanak dan bapanya yang hampir lemas itu beralamat di Pulau Pinang, manakala seorang lagi mangsa dari Tangkak.

Beliau berkata, meskipun tidak hujan, tetapi keadaan laut bergelora dengan ombak tinggi yang berbahaya untuk sebarang aktiviti pantai.

Justeru, pengunjung diingat agar mematuhi amaran bendera merah yang dipasang di pantai berkenaan sejak awal bulan ini dan memberi kerjasama untuk naik ke darat sekiranya diarahkan oleh pengawal pantai. - UTUSAN ONLINE