SHAHIMI SHARIF

Bukan sahaja satu kampung boleh ‘hilang’ seperti yang berlaku di kawasan pantai di Kelantan, malah masalah itu turut menyebabkan perubahan fizikal di kawasan terlibat.

Laporan khas oleh wartawan Utusan Malaysia, ZAAIN ZIN mengupas kesan dan usaha dilakukan oleh pihak berkuasa di Kelantan bagi menangani permasalahan itu.

KOTA BHARU 3 Jan.  -  Sekitar akhir 1980-an dan awal 90-an, peta Kelantan dikatakan berubah drastik selepas kawasan pantai sejauh 71 kilometer bermula di Pasir Pu­­
teh-Besut hingga ke Kuala Tak Bai di Tumpat terhakis.

Mengikut rekod Jabatan Pengai­ran dan Saliran (JPS) nege­ri, Pantai Sabak di sini dilaporkan paling teruk terjejas apabila kira-kira 200 meter daratan hilang ‘dimakan' lautan sedikit demi sedikit.

Difahamkan, hakisan terhadap Pantai Sabak bermula pada 1985 selepas pasirnya diambil untuk membesarkan lapangan terbang di Pengkalan Chepa sebelum merebak bertambah teruk setelah benteng dibina di Kuala Kemasin, tidak jauh dari pantai itu.

Malah, fenomena tersebut dikatakan melenyapkan sejumlah 107 kediaman penduduk dalam tempoh 1988 hingga 1993.

Pengarah JPS negeri, Shahimi Shariff memberitahu, kerajaan memandang serius masalah itu dan pelbagai langkah telah diambil bagi mengurangkan kesan hakisan sedia serta menghalang kejadian hakisan baharu.

Antara usaha itu kata beliau, termasuklah membina benteng pemecah ombak yang kemudiannya berjaya mengatasi masalah hakisan di Pantai Sabak.

“Seterusnya, kita bina benteng penahan ombak serta struktur dipanggil vertical groin bagi mencegah hakisan di Pantai Cahaya Bulan. Projek di Pantai Sabak dan Pantai Cahaya Bulan ini melibatkan kawasan sepanjang 3.85 kilometer dengan kos RM13 juta.

“Terbaharu, JPS melaksanakan projek pengawalan hakisan dipanggil T groin di beberapa kawasan yang kritikal seperti Pantai Kemayan dan Pantai Irama yang terletak di Bachok,” kata­nya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Shahimi, struktur T groin dan vertical groin didapati bukan sahaja berkesan mengawal hakisan, malah berjaya membentuk semula kawasan berpasir sekali gus berpotensi untuk dijadikan pantai pelancongan.

Beliau dalam pada itu memberitahu, secara keseluruhan, projek pengawalan hakisan telah dijalankan di sepanjang 12.15 ki­lometer pantai yang dikenal pasti paling teruk terjejas di seluruh negeri ini.

“Sekarang hanya tinggal 3.5 kilometer lagi kawasan yang perlu diberi perhatian segera iaitu Pantai Pulau Kundur dan Pantai Mek Mas yang kadar hakisannya didapati mencecah 10 meter setahun terutama sejak dilanda bah kuning pada 2014.

“Projek pengawalan hakisan di kawasan itu telah pun diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan dijangka dapat dimulakan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya.

Buat sementara waktu kata beliau, JPS menggunakan kaedah meletak geo bag atau guni pasir sebagai benteng di sepanjang Pantai Pulau Kundur.

“Kawasan 3.5 kilometer ini sememangnya menjadi keutamaan kita. Selepas selesai projek pe­ngawalan hakisan di kawasan ini, barulah kita selesaikan masalah hakisan di lokasi lain pula secara berperingkat,” katanya.