Dalam kejadian pada pukul 11.55 malam itu, difahamkan, mangsa, S. Ramesh, 36,  memandu kereta jenis Perodua Kancil dari arah Pokok Machang ke Pokok Sena dan setibanya di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaan dan terbabas masuk ke dalam parit.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa mengalami kecederaan parah apabila keretanya melanggar pula tembok pembentung di dalam parit berkenaan.


“Polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya,” katanya di sini hari ini.


Beliau memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia pukul 4.30 pagi ketika sedang dirawat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE