Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Nor Elina Md. Radzi, 36, berjaya diselamatkan Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa dan orang ramai yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke pekan Jitra selepas selesai mengajar di Sekolah Kebangsaan Telok Malek, Jitra.

Kamalruzamal berkata, ketika kejadian dia melakukan rondaan bagi memantau keadaan banjir di kawasan tersebut sebelum ternampak sebuah kereta jenis Proton Persona terjunam ke dalam terusan.

"Saya dan orang awam yang menyedari kejadian terus membantu mengeluarkan mangsa dari kereta kerana bimbang kenderaan tersebut dihanyutkan air," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun kelihatan trauma dengan kejadian tersebut.-UTUSAN ONLINE