Mayat guru tersebut ditemukan oleh orang awam dalam keadaan berlumuran darah di kawasan laluan kereta pasar raya itu pada pukul 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pemeriksaan terhadap mayat di tempat kejadian tidak menemukan apa-apa elemen berunsur jenayah.

Katanya, barangan peribadi mangsa yang merupakan guru di sebuah sekolah di Pasir Putih seperti telefon bimbit dan rantai tangan juga tidak terusik

"Siasatan awal mendapati sebelum kejadian tersebut, saksi yang merupakan pengawal keselamatan pasar raya itu ada menegur mangsa supaya tidak berlegar di kawasan berkenaan namun larangan itu tidak diendahkan wanita terbabit yang terus terjun.

"Suami wanita itu yang hadir di tempat kejadian mengesahkan mangsa pernah mengalami kemurungan dan baharu minggu lalu mendapatkan rawatan di hospital," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, lelaki itu juga tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana mengakui isterinya tidak dapat menerima beban kerja yang banyak setelah mengalami kemurungan.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE