Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa, Anis Zuraimi Ahmad Zaini, 39, dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kajang, Selangor menuju ke MRSM Serting untuk mengajar pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, mangsa maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi ASX 2015.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Pilah,” katanya di sini hari ini.

Eva Saifun berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 6.50 pagi.

Menurut beliau, seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian pada pukul 7 pagi dan mengambil masa selama 10 minit untuk melepaskan kaki mangsa yang tersepit.

Kata beliau, berdasarkan maklumat awam, mangsa yang sudah berkahwin kerap berulang-alik sejauh kira-kira 118 kilometer dari rumahnya di Kajang untuk mengajar di MRSM Serting. - UTUSAN ONLINE