Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Muhammad Shaaban Roslan, 24, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2 menunggang motosikal seorang diri dan dipercayai dalam perjalanan ke sekolah.

Selain motosikal mangsa, kemalangan turut membabitkan dua lagi kenderaan lain iaitu sebuah kereta dan motosikal de­ngan penunggangnya turut me­ngalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu lori dari arah Johor Bahru menghala Pontian dikatakan ingin mengelak sebuah kereta lain yang berhenti di lorong kiri kerana terlibat kemalangan.

“Ketika ingin mengelak, lori itu terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang mangsa dan sebuah kereta yang ketika itu dari arah Pontian menghala ke Johor Bahru.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terseret ke bawah lori. Susulan itu seorang lagi penunggang motosikal berusia 42 tahun terjatuh di tengah laluan. Mangsa mengalami kecederaan parah akibat itu,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Taib, ketika polis tiba di tempat kejadian, pemandu lori yang berusia 58 tahun itu sudah melarikan diri sebelum ditahan beberapa jam selepas itu.

“Pemandu lori melarikan diri sejurus kemalangan berlaku tetapi berjaya diberkas selepas kita menerima maklumat. Kita akan tahan pemandu ini untuk menjalankan siasatan serta mengetahui punca sebenar kejadian.

“Sementara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan pula akan dihantar ke Puspakom Taman Daya untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.