Dalam nahas pada pukul 7.40 pagi itu, motosikal ditunggang Rafidah Mat Sherat, 35, yang merupakan guru di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sungai Ruan, di sini dan anaknya, Fatin Damia Jamalizal bertembung dengan sebuah kenderaan pa­cuan empat roda menyebabkan mereka cedera parah serta di­sahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Sungai Ruan menghala ke Lembah Klau manakala dua beranak berkenaan dari arah bertenta­ngan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Toyota Hilux dipercayai melanggar lopak air lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, Rafidah dan anaknya yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 dari arah bertentangan merempuh bahagian tepi kenderaan tersebut dan tercampak di atas jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd. Zahari, pemandu Toyata Hilux tersebut yang tidak mengalami kecede­raan ditahan untuk diambil sampel darah dan ujian air ken­cing.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang dipercayai memandu laju.

“Tempat kejadian merupakan jalan lurus dua hala dan permukaan jalan ketika itu dalam keadaan basah serta licin kerana selepas hujan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pe­ngangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.