MOHD. TAUFIK MAIDIN
MOHD. TAUFIK

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, antara lokasi yang dikenal pasti ialah beberapa laluan di jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Lojing.

Selain itu katanya, laluan Gua Sejuk, Chiku 3, Sungai Bayu, Paloh juga lokasi panas termasuk kawasan Kampung Sungai Lakit yang meragut nyawa tiga beranak semalam.

“Lokasi panas di sepanjang Jalan Gua Musang-Kuala Lipis ialah Bukit Lanjut, Taman Rusa dan Kampung Lepan Jaya.  Laluan Gua Musang-Lojing pula lokasi panasnya adalah dekat jambatan Pos Hendrop,  Kampung Jedip dan Pos Brooke," katanya.

Mohd. Taufik berkata, terdapat juga sesetengah pemandu yang degil dan kurang mengambil perhatian terhadap keselamatan ketika melalui lokasi itu. 

 

“Pemandu yang berdegil dengan memandu tidak mengikut peraturan akan menyebabkan mereka mudah berdepan dengan kejadian tidak diingini termasuk kemalangan maut. 

“Pihak polis juga akan mempertingkatkan tugasan rondaan anggota di semua laluan itu menerusi pelaksanaan Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina ini,” katanya.

Tambah Mohd. Taufik lagi, beliau berharap pemandu berhemah ketika melalui jalan Gua Musang.

“Semoga mereka mengambil iktibar dengan berita paparan media mengenai kemalangan ngeri yang meragut banyak nyawa, termasuklah yang berlaku di Kilometer 63, dekat Kampung Sungai Lakit, pagi semalam yang mengorbankan tiga beranak," katanya. - UTUSAN ONLINE