Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memberitahu, jenazah Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah akan dibawa pulang ke Malaysia menggunakan penerbangan Garuda Indonesia, GA816.

“Seramai 17 mangsa lain akan berangkat pulang pada hari sama (hari ini) dengan pesawat Air Asia nombor penerbangan AK309 terus dari Lombok.

“Mereka akan diterbangkan terus dari Lombok dan dijangka tiba di KLIA 2 kira-kira pukul 3.15 petang,” katanya dalam akaun Facebook rasmi kedutaan itu semalam.

Tambah kenyataan tersebut, kedutaan juga mengesahkan terdapat empat warganegara Malaysia yang masih mendapatkan rawatan di Rumah Sakit Umum daerah Mataram.

“Bagaimanapun sebahagian dijangka pulang ke Malaysia setelah mendapat pengesahan doktor.

“Kedutaan menggesa warganegara Malaysia yang masih berada di Lombok atau kawasan sekitar yang terkesan susulan gempa bumi untuk menghubungi pegawai bertugas Kedutaan Besar Malaysia di talian +62 813 80813036‬,” katanya. - UTUSAN ONLINE