Menurut kenyataan Pusat Cerap Kandili yang berpusat di Istanbul, gempa bumi itu berlaku di wilayah Kutahya pada pukul 11.15 malam semalam (4.15 pagi hari ini waktu Malaysia) dan di tengah-tengah bandar Simav.

Menteri Alam Sekitar, Veysey Eroglu berkata, dua orang maut termasuk seorang daripadanya yang melompat keluar dari tingkap akibat panik di Simav.

Katanya, seorang wanita tua turut maut selepas mengalami serangan jantung di sebuah lagi bandar, Inegol.

Tambahnya, kira-kira 79 orang tercedera, kebanyakannya terkena pecahan kaca atau melompat daripada beranda serta mengalami serangan jantung akibat panik dengan gegaran, dibawa ke hospital di Simav.

Jelasnya, seorang mangsa mengalami kecederaan serius dan 15 yang lain dirawat di hospital wilayah berjiran yang terletak di Usak.

Pengarah Pusat Cerap Kandili, Mustafa Erdik berkata, gempa bumi tersebut disusuli dengan 50 gegaran, dan gegaran paling kuat bermagnitud 4.6 menggegarkan Kutahya.

Dia memberi amaran lebih banyak gegaran akan menyusul dalam beberapa hari akan datang.

Di Jepun, gempa bumi berukuran magnitud 5.8 menggegarkan Tokyo dan beberapa kawasan lain di timur negara ini hari ini, kata agensi meteorologi. – Agensi